Selasa, Februari 10, 2009

Biografi YAB Dato' Seri Ir. Hj Mohd Nizar Jamaluddin




Selepas kemenangan Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat) dalam pilihanraya Mac 2008 lalu, Perak dikatakan negeri 'panas' kerana diterajui tiga komponen parti pembangkang. Bertambah unik, Menteri Besarnya dilantik dari parti yang paling sedikit jumlah kerusi yang dimenangi iaitu PAS. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, YAB Dato' Seri Ir. Hj Mohd Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar. Temujanji dibuat untuk bertemu Menteri Besar sejurus pelantikannya tertangguh hampir dua bulan kerana jadualnya yang padat. Terima kasih diucapkan kepada Setiausaha Politik beliau, Ustaz Misbahul Munir Masduki yang berusaha juga mengatur pertemuan kami. Akhirnya temujanji dibuat di kediaman rasmi beliau di Ipoh, Perak.

Kami tiba tepat jam 9.00 pagi. Ketika melewati bahagian belakang rumah, kelihatan seorang gadis berusia lingkungan 20-an sedang menyidai pakaian. Ketibaan kami disambut Setiausaha Politik beliau. Beliau memberitahu MB sedang bermesyuarat dengan unit keselamatan untuk program meraikan kemenangan Pakatan Rakyat di Stadium Perak malam esoknya, Kami menunggu kira-kira 30 minit sementara isteri MB bersiap. Kami dimaklumkan beliau sedang membasuh pakaian ketika kedatangan kami dan gadis yang saya temui sebentar tadi adalah anak sulungnya!

Sejurus kemudian kami ditemukan dengan isteri dan anak-anak beliau. Perkongsian hidup bersama Datin Seri Hajah Fatimah Taat, 44, selama 20 tahun dikurniakan lapan orang cahaya mata, lima lelaki dan tiga perempuan. Anak sulungnya merupakan lulusan BA Syariah Universiti Mut'ah, Jordan. Anak kedua pula hafiz al-Quran di Universiti Mut'ah Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universiti Damsyik, Syria dan Universiti Lebanon. Manakala anak yang keempat hingga ke lapan sedang belajar di beberapa institusi pendidikan daiam negeri.

Menyingkap kehidupan barunya kini, menurut Hajah Fatimah, pada peringkat awal sukar baginya menerima perubahan daripada seorang isteri ahli biasa kepada isteri Menteri Besar. Tambahan keadaan seperti di Perak. Namun beliau bersyukur kerana anak-anak memberi sokongan. Sebagai isteri, sudah menjadi tugasnya untuk berdamping dan memberi sepenuh sokongan kepada suami. Cuma masa suaminya bersama keluarga agak terbatas. Jika sebelum ini beliau banyak bersama keluarga kerana bertugas sepenuh masa dengan parti tapi sekarang apabila sudah jadi wakil rakyat dan Menteri Besar, banyak perlu dikorbankan. Menyentuh peribadi YAB. Ir. Nizar, menurutnya beliau seorang yang rapat dengan anak. Walaupun sibuk, beliau akan mencari masa terluang untuk bersama anak. Selalunya beliau berjumpa anak-anak di waktu pagi sebelum ke pejabat. Beliau juga seorang yang kuat bekerja dan ikhlas dalam perjuangan.

Perbualan kami turut disertai anak sulung pasangan ini , Fatihah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Yong. Beliau yang baru saja tamat pengajian di Jordan, masih belum memikirkan mencari pekerjaan kerana ingin membantu ibunya melayan tetamu yang tidak putus berkunjung. Menurutnya, dari kecil bapanya menekankan mengaji al-Quran setiap malam. Mereka tiga beradik (yang bersekolah ketika itu) di hantar ke Maahad Tahfiz di Kelantan. Mereka menurut sahaja tanpa berasa tertekan walaupun ketika itu masih bersekolah rendah. Beliau yang turut aktif berpolitik merupakan Setiausaha Nisa' Perak, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Perak dan HALWA Perak. Beliau sudah biasa dengan suasana itu kerana ketika di Maahad mereka dilatih untuk menjadi pemimpin.

Beliau juga merupakan Timbalan Dipertua Badan Kebajikan Anak Perak Jordan. "Sebagai anak, saya puji keperibadian abah. Saya lihat dia tidak seperti orang lain. Dia tenang ketika menghadapi situasi mencabar dan tekanan sekeliling. Dia tak pernah bawa masalah luar ke rumah. Ketika keadaan amat getir di awal pelantikannya sebagai Menteri Besar, beliau bersikap seperti biasa saja seolah-olah tiada apa yang berlaku. Kami tak tahu dalamannya bagaimana. Mungkin adik-adik salah satu faktornya. Bila pulang ke rumah, abah tenang dengan telatah adik-adik. Keluarga adalah penguatnya". Beliau berharap hubungan di antara kerajaan Pakatan Rakyat akan terus berkekalan. Pandangannya bukan mudah untuk mengharapkan semua rakyat faham segala yang berlaku. Cukuplah sekadar rakyat memberi sokongan dan berdoa diberi kemudahan untuk bapanya memikul tanggungjawab yang diamanahkan.

Perbualan Kami terhenti kerana kehadiran YAB Nizar menyertai perbualan Kami. Beliau senang disapa sebagai Tuan Haji saja. Kami dahului dengan ucapan tahniah di atas perlantikannya, sebaliknya beliau pula mengucapkan terima kasih atas kesusahan kami yang datang dari jauh untuk menemuinya dan terpaksa menunggu agak lama. Kami memulakan perbualan dengan menyingkap latar belakangnya. Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom. Sekembalinya ke tanahair, beliau bekerja di beberapa agensi kerajaan dan menjalankan beberapa projek besar negara. Beliau menjalankan perniagaan sendiri dan ketika itu aktif terlibat dalam parti. Jawatan terakhirnya ialah sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Perak.

Melihat kepada latar belakang pendidikannya, timbul pertanyaan kenapa beliau yang berpendidikan sekular memilih aliran agama untuk semua anaknya. Dengan kata-kata yang teratur beliau menjawab persoalan kami. "Pada asasnya memang pendidikan saya dipanggil sekular. Dari peringkat rendah saya masuk ke sekolah yang bercampur dengan bangsa asing. Bila meningkat ke sekolah menengah persekitaran saya masih serupa hinggalah ke luar negara. Ketika di England timbul perasaan ingin mendekatkan diri dengan ilmu-ilmu agama. Alhamdulillah suasana di sana dan rakan-rakan yang mendampingi saya adalah rakan-rakan yang berasaskan agama. Saya fikirkan setelah 17 tahun saya jahil, inilah masa terbaik untuk saya mendapat pendedahan agama. Ketika itu di tahun 60-an institusi keagamaan terhad, tidak seperti sekarang".

Beliau mendirikan rumah tangga selepas setahun kembali ketanahair. Beliau menerapkan prinsip keagamaan dalam rumah tangga untuk menebus kembali tempoh 18 tahun yang dialaminya. Beliau tidak mahu anak-anak mengikut circle yang sama. Jika sebelum berkahwin, isterinya bekerja tetapi selepas berumahtangga beliau menjadi suri rumah tangga sepenuh masa kerana ingin pendidikan anak itu seratus peratus di bawah kawalan dan pentarbiyahan mereka suami isteri. Beliau menekankan amalan fardu ain dalam kehidupan harian. Mengambil berat soal soiat fardu sehinggakan jika mereka ada program luaran di sekolah, mereka ditekankan bab melaksanakan solat. Mereka tidak boleh sebebasnya keluar rumah tanpa melaksanakan tugasan yang wajib. Walaupun mempunyai anak yang ramai, beliau tidak segan membawa anak-anak solat berjamaah di masjid.

Satu keistimewaan Menteri Besar Perak ini, beliau fasih berbahasa Mandarin, Tamil dan bahasa Arab. Malah beliau turut menjadi imam dan khatib solat Jumaat. Kelebihan ini menjadi bonus kepadanya untuk berdamping dengan segenap lapisan masyarakat. Beliau mengakui jadualnya kini terlalu padat berbanding sebelum ini. "Memang sekarang sibuk sikit berbanding dulu. Masa perlu diatur mengikut konsep pengurusan masa. Sebelum ini masa saya agak fleksibal. Tetapi sekarang kena kembali kepada time management untuk mengoptimumkan masa bagi aktiviti kekeluargaan, sendiri atau negeri. Hingga kadang-kadang masa yang diperuntukkan untuk beramal ibadat, peribadi dan tugasan-tugasan perlu diikuti sebaik-baiknya".

Beliau turut meminta muslimat agar memberikan sokongan dalam penglibatan suami mereka dalam kerja jamaah kerana dalam jamaah ada pentarbiyahan dan pentarbiyahan akhlak. Apabila mereka menyokong penglibatan suami dan memelihara tanggungjawab mereka sama ada harta atau anak, Allah memberikan ganjaran yang besar kepada mereka. Zaman sekarang adalah zaman berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat. Muslimat turut berperanan untuk menangani segala gejala negatif yang wujud dalam masyarakat hari ini.

Sebelum pulang kami sempat meminta beliau bergambar di hadapan kereta BMW antiknya yang digunakan untuk tugas parti sebelum ini. Menurutnya, kereta tersebut banyak jasanya dalam kerja-kerja parti. Beliau tidak berhajat untuk menjualnya kerana ia memiliki nostalgia tersendiri.

Sumber:
Majalah Al-Muslimah bil. 205 Julai 2008. Selangor: Syarikat Al-Muslimah. m.s 32-34
http://majalahmuslimah.blogspot.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Print

ArabMykrk.com