Selasa, Februari 17, 2009

Anak siapakah ini?

Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke K.Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan.

“Abg nak beli kuih?” Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.

“Tak apalah dik… abg dah pesan makanan,” jawap saya ringkas. Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

“Abg dah makan, tak nak beli kuih saya?” katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

“Abg baru lepas makan dik, masih kenyang lagi ni,” kata saya sambil menepuk-nepuk perut. Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat.

Setiap yang lalu ditanya… ” Nak tak beli kuih saya bang.. Pak cik… kakak atau makcik.” Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalng dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu , membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumanya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.

“Abg dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya. Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

” Ambil ni dik! Abang sedekah… tak payah abang beli kuih tu” saya berkata ikhlas kerana perasaan kesian meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya.

Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya. Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

“Kenapa bang nak beli kuih ke?” tanyanya.
“Kenapa adik berikan duit abg tadi pada pengemis tu? Duit tu abg bagi adik!” kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

“Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!” katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekali gus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

“Abg nak beli semua ke?” dia bertanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

“RM25 saja bang…..! Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.

Dalam perjalanan ke K.Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatim kah?? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya?? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kesian, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!!!

http://blog.azhad.com/2005/02/pegangan-hidup.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Print

ArabMykrk.com