Rabu, Januari 07, 2009

Hak-hak Rakyat Ke atas Amir (Pemimpin)

Dikeluarkan oleh Al-Baihaqi daripada Al-Aswad katanya: “Tatkala satu rombongan datang menemui Umar r.a., Umar pun bertanyakan mengenai amir mereka: “Adakah beliau menziarahi orang yang sakit? Adakah beliau menghulurkan bantuan kepada hamba yang dalam kesusahan? Apakah yang dilakukannya apabila orang datang berjumpa dengannya?” Jika mereka menjawab bahawa amir mereka tidak melakukan walaupun satu sebagaimana soalan-soalan Umar tersebut, Umar akan memecat mereka.”

Sebagaimana dalam Al-Kanz. Dikeluarkan oleh At-Tibri daripada Aswad dengan maknanya.
Dikeluarkan oleh Al-Baihaqi daripada Asim bin Abu An-Najid daripada Umar bin Al-Khattab r.a., Apabila Umar r.a. menghantar gabenornya ke sesuatu tempat beliau akan menjelaskan beberapa syarat yang mesti dipatuhi oleh mereka iaitu: “Kamu jangan menunggang kuda Turki, jangan makan roti yang berayak, jangan memakai pakaian dari kain yang lembut dan halus, jangan kamu menutup pintu rumah kamu tanpa menunaikan keperluan-keperluan orang ramai. Jika kamu melakukan salah satu daripada perkara-perkara tersebut, hukuman adalah seharusnya dikenakan ke atas kamu.”

Kemudian beliau pun mengucapkan selamat jalan kepada mereka. Apabila gabenor itu ingin pulang ke tempatnya, Umar r.a. akan berkata kepadanya: “Aku tidaklah melantik kamu untuk menumpahkan darah kaum muslimin, mengambil kesempatan ke atas mereka dan ke atas kehormatan serta harta-benda mereka. Akan tetapi aku telah menghantar kamu untuk mendirikan solat, membahagi-bahagikan harta rampasan di kalangan kamu, menghukum di kalangan mereka dengan adil. Apabila kamu menemui sesuatu kemusykilan maka hendaklah kamu merujuk perkara tersebut kepadaku. Ketahuilah! Janganlah kamu menyusahkan orang-orang Arab Badwi dan menghina mereka. Janganlah menghina atau pun membiarkan mereka sehingga mereka kehilangan pergantungan kepada kamu dan hendaklah kamu mengikuti Al-Quran.”
Sebagaimana dalam Al-Kanz.

Dikeluarkan oleh At-Tibri daripada Abu Husain dengan maknanya secara ringkas dan ditambahkan dalam riwayatnya: “Ikutilah hukum dalam Al-Quran dan berhati-hatilah dalam meriwayatkan apa-apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Aku sentiasa berdiri di sisi kamu (memerhatikan tindakan kamu).” Umar r.a. sentiasa mengambil berat apa yang dilakukan oleh gabenor-gabenornya. Jika terdapat sebarang aduan mengenai gabenor tersebut, beliau akan memanggil gabenor yang berkenaan dan orang yang mengemukakan aduan tersebut supaya mereka bersemuka dengan beliau dan membentangkan segala masalah mereka di hadapannya. Sekiranya aduan terhadap gabenor itu benar, maka Umar r.a. akan melucutkan jawatan gabenor itu serta-merta.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Print

ArabMykrk.com