Isnin, Januari 26, 2009

Fenomena Gerhana Matahari dan Bulan serta Cara Solat

SOLAT KHUSUF dan KUSUF

Solat sunat muakkad berjamaah *1 kedua yang utama ialah solat gerhana, sama ada gerhana bulan (al-khusuf)


atau gerhana matahari (al-kusuf).

Solat ini disyariatkan pada Rabiul Awal tahun 10 Hijrah bersamaan Jun 631 Masehi. Pada hari itu berlaku gerhana matahari. Mengikut kepercayaan karut orang Jahiliah, apabila berlaku gerhana maka sesuatu yang buruk telah berlaku di bumi.

Ditakdirkan Allah, pada hari tersebut anak lelaki Nabi s.a.w bernama Ibrahim, wafat. Melihat hal itu ramailah orang Islam percaya bahawa gerhana itu ada kaitan dengan kematian Ibrahim, anak Nabi s.a.w. Ada yang mengatakan gerhana itu adalah mukjizat Ibrahim. Nabi mendengar kata-kata orang itu. Setelah selesai mengkebumikan anaknya maka Nabi s.a.w. pun pergi ke masjid dengan tergesa-gesa, lalu diajaknya orang Madinah sembahyang gerhana matahari. *2

HIKMAH

Ramai orang bertanya, mengapa kita sembahyang gerhana, sedangkan gerhana adalah kejadian alam? Memang, dalam Is­lam gerhana adalah kejadian sunnah Allah, seperti disebut oleh Nabi: "Bahawa matahari dan bulan adalah salah satu dari ayai Allah, bila berlaku gerhana maka bukanlah disebabkan seseorang mati atau hidup. Apabila berlaku maka bertakbirlah, dan bersedekah dan dirikan solat". (Bukhari, Muslim, Nasa'i. *3)

Tujuannya jelas, untuk menolak perkara atau kepercayaan khurafat tentang kejadian gerhana. Seperti dikatakan, orang Arab percaya gerhana berlaku disebabkan kematian raja, wali atau sebagainya. Di kalangan masyarakat tradisional, baik di Eropah, Afrika atau Asia, kepercayaan karut tentang kejadian gerhana memang ada. Bahkan dalam masyarakat tradisional Melayu pun ada. Ada masyarakat yang sujud kepada matahari atau bulan ketika gerhana. Mengaitkan kejadian di bumi dengan gerhana amat ditentang oleh Islam *4 dan sains.

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betulah kamu hanya beribadat kepada Allah. (Surah Fussilat 41: Ayat 37)

Solat yang didirikan pada masa gerhana bukanlah untuk menyelamatkan bulan atau matahari, bukan juga untuk mengelakkan bala yang akan datang. Sebaliknya untuk meningkatkan keimanan kepada Allah, disamping menanamkan pemikiran saintifik dalam budaya orang Islam. Orang Islam dikehendaki mengetahui dan sentiasa menyedari peranan matahari dan bulan dalam kehidupan manusia dan hidupan lain di bumi.

Maka itu, mengikut Quran, orang Islam lelaki dan perempuan dikehendaki menjaga bumi dan ekologinya, supaya tidak rosak dan tercemar. *5

Maksudnya: Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. (Surah al-Baqarah 2: Ayat 11)



Maksudnya: Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya. (Surah al-Baqarah 2: Ayat 12)

Dengan mendirikan solat gerhana dan mendengar khutbahnya, diharapkan manusia sedar akan tanggungjawabnya menjaga bumi di hadapan Allah, dan berasa kerdil dan lemah terhadap keagungan Allah. Solat ini lebih utama dilakukan secara berjamaah, namun boleh juga dilakukan secara bersendirian.

Apabila berlaku gerhana, maka umat Islam lelaki atau wanita yang berada di tempat berlakunya gerhana itu, berhimpun di masjid atau surau, mendirikan solat gerhana secara berjamaah. Jika tidak dapat berjamaah, solat boleh didirikan bersendirian. Jika gerhana sudah selesai, tidak perlu sembahyang gerhana.

CARA SOLAT

Mengikut riwayat Bukhari dan Muslim, *6 dan diputuskan oleh mazhab Shafiei *7. bahawa solat itu dua rakaat, setiap rakaat mempunyai dua qiam, dua bacaan Fatihah, dua rukuk, dan dua sujud. Jadi kesemuanya mempunyai empat qiam, empat bacaan Fatihah, empat rukuk, dan empat sujud.

*** perbezaan dengan solat-solat lain - (setiap rakaat ; dua kali qiam, dua bacaan Fatihah dan dua kali ruku')

Lafaz niat (gerhana bulan):

أ ُصـَــلــِّى سـُــنـَّـة َ خـُــسـُــوفِ الـقـَـمـَــرِ

رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلــَّــهِ تـَــعـَــالـَـى




atau


أ ُصـَــلــِّى سـُــنـَّـة َ الـْـخـُــسـُــوفِ

رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلــَّــهِ تـَــعـَــالـَـى


Niat di hati: "Sengaja saya solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Ta 'ala. "


Lafaz niat (gerhana matahari):

أ ُصـَــلــِّى سـُــنـَّـة َ كـُــسـُــوفِ الـشـَّــمـْسِ

رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلــَّــهِ تـَــعـَــالـَــى




atau


أ ُصـَــلــِّى سـُــنـَّـة َ الـْـكـُــسـُــوفِِ

رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلــَّــهِ تـَــعـَــالـَــى


Niat di hati: "Sengaja saya solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta 'ala. "

Seterusnya:

1. Takbiratul Ihram
2. Baca doa Iftitah
3. Baca Fatihah
4. Baca surah atau ayat Quran
5. Rukuk - baca tasbih sebanyak-banyaknya
6. Iktidal
7. Baca Fatihah
8. Baca surah atau ayat Quran
9. Rukuk
10. Iktidal
11. Sujud - baca tasbih sebanyak-banyaknya
12. Duduk
13. Sujud kedua - baca tasbih sebanyak-banyaknya
14. Ulangi yang sama untuk rakaat yang kedua. Dan pada rakaat kedua, selepas tahiyat, tasyahhud dan salawat, diakhiri dengan salam.



Dalam solat ini, bagi orang biasa bacalah surah yang senang dan lancar.

Sebaliknya, jika anda hafal surah-surah berikut, silalah baca:


Surah as-Syams pada qiam (berdiri pertama rakaat 1)
Surah al-Lail pada qiam (berdiri kedua rakaat 1)
Surah Qul Hu (al-Ikhlas) pada qiam (berdiri ketiga rakaat 2)
Surah Qul A'uzu birabbil falaq (al-Falaq) pada qiam (berdiri keempat rakaat 2)

Sekiranya berjamaah:
Sunat diadakan khutbah gerhana menerangkan fakta kejadian gerhana dan mengaitkannya dengan kepercayaan kepada Allah. Menyarankan supaya umat Islam berpegang pada fakta ilmu pengetahuan yang betul, dan tidak percaya kepada khurafat dan kepercayaan karut. Memberikan penerangan kepada makmum supaya taat kepada Allah dan jangan membuat kerosakan di muka bumi.

Nota:
*1 Imam Nawawi mengatakan secara ijmak. Lihat al-Majmu', Juz 5, hlm 49 dan 50.
*2 Hayat Muhammad, hlm 569, dan Muhammad SAW, hlm 345; juga Fathul Bari, Juz 3, hlm 244.
*3 Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 23; al-Jami' al-Sahih, Juz 3, hlm 27; al-Nasa'i, Juz 3, hlm 124.
*4 Al-Quran, surah Fussilat, ayat 37: "Jangan sujud kerana matahari atau bulan, tetapi sujud kerana Allah."
*5 Quran, Surah al-Baqarah (2), ayat 11 dan 12.
*6 Sahih al-Bukhari, Juz 2, hlm. 25; al-Jami' al-Sahih, Juz 3, hlm 28; Sunan al-Nasai, Juz 3, hlm 128.
*7 M-Majmu', Juz 5, hlm 52.

Solat yang diutamakan berjamaah ada lima, iaitu:

1. solat sunat hari raya Aidil Fitri
2. solat sunat hari raya Aidil Adha
3. solat sunat gerhana bulan
4. solat sunat gerhana matahari
5. solat sunat minta hujan

Rujukan:
Haji Jajuli Abd Rahman (Imam Masjid Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur). SOLAT SOLAT SUNAT Hikmah dan Cara. 2005. Selangor: Wholesale-Mart Business Point Sdn. Bhd. m.s 26-30
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Print

ArabMykrk.com