Rabu, Januari 07, 2009

Amalan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar r.anhuma dalam kegelapan malam

Dikeluarkan oleh Al-Khotib daripada Solih Alghifari sesungguhnya Umar bin Al-Khattab r.a. sering menziarahi seorang wanita tua yang buta di luar Madinah pada waktu malam. Beliau akan mengangkat air untuk wanita tua itu dan berkhidmat bagi memenuhi keperluan wanita itu. Walau bagaimanapun, setiap kali beliau pergi ke rumah wanita tua itu, beliau mendapati bahawa seseorang yang lain telah mendahului dalam berkhidmat untuk wanita itu. Beliau telah datang ke rumah wanita itu untuk mengetahui siapa yang mendahului berkhidmat untuk wanita itu, tetapi untuk beberapa kali beliau sering terlewat. Pada suatu malam, Umar r.a. menunggu akan kedatangan orang itu di pinggir jalan yang menuju ke rumah wanita tua itu dan beliau mendapati bahawa orang itu adalah Abu Bakar As-Siddiq r.a., khalifah rasulullah s.a.w. Maka Umar r.a. pun berkata: “Demi Allah! Engkau yang telah melakukannya.”
Sebagaimana dalam muntakhab Al-Kanz.

Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim di dalam kitab Al-Hilyah daripada Al-Auza’ie sesungguhnya Umar bin Al-Khattab r.a. telah keluar dalam kegelapan malam. Maka Talhah r.a. telah melihatnya lalu mengekori ke mana Umar r.a. pergi. Beliau melihat Umar r.a. memasuki satu rumah dan rumah yang lain. Keesokan harinya, Talhah r.a. pun pergi ke rumah yang dimasuki oleh Umar r.a. itu dan mendapati bahawa penghuninya adalah seorang wanita tua yang buta dan lumpuh sedang duduk. Talhah r.a. pun bertanya kepada wanita tua itu: “Apakah yang telah dilakukan oleh lelaki yang datang ke rumahmu semalam?” Wanita itu pun menjawab: “Beliau telah berkhidmat untukku sejak sekian lama. Beliau akan datang untuk memenuhi segala keperluanku dan mengurangkan kesempitanku.” Talhah r.a. pun berkata kepada dirinya sendiri: “Telah kehilangan oleh ibumu akan dirimu ya Talhah, engkau telah mengekori Umar r.a. semata-mata untuk menyergahnya.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Print

ArabMykrk.com